
October 16, 2025
Media Sosial Buat Ramai Sedar Salah Laku Pelajar Kian Serius, Erysha Emyra Titip Pesan Kepada Adik Sendiri Yang Masih Sekolah
Pelakon Erysha Emyra turut sama terkesan dengan peningkatan masalah salah laku dan kes jenayah dalam kalangan pelajar sekolah kini berada di tahap yang membimbangkan.
Erysha berpendapat perkembangan media sosial turut menjadi sebab hal berkaitan kini lebih mendapat perhatian berbanding sebelum ini.
“Mungkin dahulu banyak juga masalah salah laku yang berlaku di sekolah. Namun, ketika ini, kita lebih nampak ia berlaku sebab adanya media sosial.
“Bila ada sesuatu yang berlaku, kita terus boleh dapat tahu. Kalau dahulu, mungkin selepas beberapa minggu baru kita tahu tentang masalah yang berlaku di sekolah. Mungkin juga hal-hal tersebut tidak terlalu diperbesarkan.
“Bila isu-isu seperti ini berlaku, kita boleh bersuara tentang apa yang betul dan salah. Secara tidak langsung, kita boleh didik anak-anak untuk berkelakuan lebih baik,” katanya kepada MH.
Anak kepada pelakon Noniswara itu berkata demikian ketika ditemui di set penggambaran drama terbitan Viu, Satu, Dua…Dia? di Kampung Melayu Subang, Shah Alam pada Rabu.
Dalam masa sama, Erysha mengakui isu tersebut turut membuatkan dirinya semakin risau terhadap keselamatan dan sahsiah adik-adiknya yang masih bersekolah.
“Saya juga risau dengan keadaan di sekolah ketika ini. Saya ada adik-adik yang masih bersekolah. Paling kecil usianya sembilan tahun.
“Pada saya, jika kita besarkan mereka dengan cara yang baik, mereka akan tahu jaga dan mengawal diri ketika di sekolah,” katanya lagi.
Tetap Didik Dengan Cara Sendiri
Erysha menambah, dia sentiasa menasihati adik-adiknya tentang kehidupan dan bagaimana untuk mempertahankan diri tanpa perlu bergaduh secara fizikal.
“Saya pesan macam-macam kepada adik-adik terutamanya soal kehidupan. Pada masa sama, saya mahu mereka membesar dengan cara mereka sendiri.
“Saya juga lebih suka bila mereka tahu untuk mempertahankan diri. Tak semestinya kena bergaduh.
“Seperti kanak-kanak biasa, mereka juga ada bagitahu yang kawan-kawan mereka sudah tidak mahu berkawan lagi. Jadi, saya minta mereka bertanya kepada diri sendiri.
“Adakah mereka ada buat salah atau cakap hal-hal menyakiti. Setiap cerita ada dua sisi,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, pelakon drama Jangan Menangis Cinta ini turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyalahkan kandungan televisyen sebagai punca pelajar bertindak agresif.
“Pada saya, setiap perkara ada baik dan buruknya. Terpulang kepada kita nak menilai dan menerima kandungan-kandungan yang disiarkan di televisyen.
“Ada kalanya, kita juga perlu kandungan-kandungan yang memaparkan tentang realiti untuk beri kita pengajaran. Mungkin untuk anak-anak kecil, perlu ada pemantauan daripada golongan dewasa.
“Mungkin apa yang dipaparkan di televisyen itu perbuatan yang salah tapi pasti ada mesej positif yang ingin disampaikan di sebaliknya,” akhirinya.
Untuk info, drama Satu, Dua…Dia? arahan Datuk Yusry Abdul Halim bakal ditayangkan di platform penstriman Viubermula 23 Oktober ini, turut dibintangi Ariel Fesol, Afiq Hamidon, Zarif Ghazi dan Rizal Rasid.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini