
October 17, 2025
“Kritiklah Hal Yang Baik Dulu…,” – Liyana Jasmay Seru Pengkritik Filem Beri Masa Pada Naskhah Baharu, Elak ‘Bunuh’ Semangat Penonton Hadir Ke Pawagam
Pengarah dan pelakon, Liyana Jasmay berpendapat para pengkritik filem tempatan memberi ruang kepada filem-filem baharu untuk mengukuhkan kedudukan di pawagam sebelum memberikan ulasan mendalam.
Menurutnya, kritikan yang membina mampu membantu industri terus berkembang, berbanding kritikan negatif yang terlalu awal boleh menjejaskan semangat penonton untuk menonton di pawagam.
“Apabila sesebuah filem baharu ditayangkan, memang selalu berlaku rantaian reaksi antara penonton yang sudah menonton ketika tayangan gala.
“Jika sesebuah filem itu bagus, mereka akan sebarkan tentang kebaikan filem tersebut. Sebab itu saya selalu katakan, mereka yang mengkritik filem ini harus hati-hati.
“Kritiklah hal-hal yang baik dahulu ketika tayangan pertama ini. Beri peluang orang ramai menonton dahulu. Selepas satu atau dua minggu, jika rakyat nak komen, itu tidak mengapa.
“Namun, janganlah sampai tak bagi langsung peluang kepada peminat untuk hadir ke pawagam dan menilai sendiri hasil filem tersebut.
“Kalau awal-awal lagi kalian sudah condemn, tiada siapa yang akan tengok nanti,” katanya kepada MH.
Liyana yang turut aktif menyanyi ini berkata demikian ketika ditemui di tayangan gala filem seram Qifarah, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Liyana turut mengakui situasi semasa amat mencabar buat penggiat seni, khususnya dalam bidang perfileman.
“Sebagai pembikin filem, sudah tentu saya nak semua filem kita maju ke hadapan. Ketika ini merupakan waktu yang sangat sukar buat kita semua.
“Waktu ini sangat keras bukan sahaja dalam industri perfileman tapi seluruh dunia. Sebagai rakyat Malaysia, kita memang kena bersatu untuk menyokong filem tempatan.
“Bila kita bersatu dan tunjukkan sokongan, akan lebih banyak filem berkualiti dihasilkan,” ujarnya lagi.
Boleh Pengaruhi Prestasi Filem?
Mengulas lanjut, Liyana juga tidak menolak hakikat bahawa ulasan daripada pengkritik filem mempunyai pengaruh besar terhadap sambutan penonton.
Jelasnya, ada penonton tempatan yang mungkin cenderung menjadikan ulasan sebagai rujukan sebelum menonton sesebuah filem.
“Ulasan pengkritik filem mampu memberikan impak. Penonton kita hanya tahu fasal best atau tak best sahaja. Penonton datang untuk enjoy sahaja.
“Biarlah penonton tengok dahulu dan buat penilaian sendiri. Berilah filem itu ruang dan masa. Jangan baru tayang, sudah komen macam-macam,” katanya lagi.
Liyana Jasmay turut membintangi filem Qifarah bersama barisan pelakon hebat seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Namron, Isma Daniel dan ramai lagi.
Filem terbitan Skop Productions, My Way Pictures, dengan Astro Shaw dan Primeworks Studios sebagai syarikat pemasaran ini telah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 9 Oktober lalu.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini