
October 16, 2025
“Ada Yang Sudah Meeting Tapi Tarik Diri…,” – Elly Mazlein Dedah Ada Kontrak ‘Hilang’ Selepas Berhijab, Tetap Percaya Rezeki Allah
Selebriti versatil, Elly Mazlein mengakui perlu berdepan dengan pelbagai cabaran selepas memutuskan untuk berhijab pada, awal bulan lalu.
Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, dia reda apabila beberapa tawaran kerja terpaksa ditamatkan kontrak dan ada juga pihak yang menarik diri selepas penghijrahan tersebut.
View this post on Instagram
“Ada yang bertanya, bagaimana dengan tawaran kerja selepas berhijab? Saya faham kenapa soalan tersebut ditanyakan. Setiap orang punyai tanggungjawab dan komitmen hidup masing-masing. Jadi, kita perlukan kerja.
“Memang betul, selepas penghijrahan ini, ada kontrak yang tiba-tiba ditamatkan. Ada juga yang kita sudah bermesyuarat, kemudian tarik diri. Macam-macam dugaan selepas saya berhijab.
“Namun, saya percaya rezeki datang daripada Allah dan hadir dalam pelbagai cara. Kita hanya manusia biasa dan memang akan ada perasaan risau.
“Apa yang dapat saya kongsikan di sini, kita tak perlu rasa takut sebab pasti ada sahaja rezeki buat kita. Hilang tiga atau empat tawaran, InshaAllah Allah akan ganti dengan yang lebih baik,” katanya.
Perkara itu dikongsikan oleh pengacara program Kilauan Emas 2025 itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Merry Go Round ini tetap percaya, Allah SWT telah menyusun rezeki yang terbaik buat dirinya.
“Kalau Allah kata itu rezeki kita, itu tetap akan jadi rezeki kita. Saya harap anda semua terus menunjukkan sokongan kepada saya. Doakanlah yang baik-baik. Saya juga akan doakan kalian.
“Semoga kita dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur, disayangi dan dikelilingi dengan orang yang baik-baik. Itu juga rezeki. Kita buat sahaja. Selebihnya kita serahkan kepada Allah,” kongsinya lagi.
Jelaskan Video Lama Tanpa Hijab
Dalam pada itu, Elly turut memohon agar semua pihak tidak membuat sebarang andaian melulu sekiranya selepas ini terlihat beberapa video yang memaparkan dirinya tidak berhijab.
Jelas Elly, rakaman tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kerja yang disiapkan sebelum dia memutuskan untuk berhijab.
“Saya buat video ini sebab rasa terpanggil kerana ramai yang mendoakan yang terbaik buat saya. Saya percaya, selepas ini, akan ada video-video yang dikeluarkan di mana ia telah menjalani tempoh penggambaran sewaktu sebelum berhijab.
“Saya tak nak ada pihak yang keliru. Sebelum hal itu menjadi kekeliruan, lebih baik saya bagitahu sekarang. Video-video tersebut telah dirakam lebih lama dan melibatkan ramai artis.
“Jadi, ada beberapa faktor yang menyebabkan video tersebut perlu disiarkan,” ujarnya lagi.
Dalam hantaran sama, Elly turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus memberi kata semangat dan doa buat dirinya.
“Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan saya. Saya terima banyak DM daripada anda.
“DM yang penuh dengan doa, kata-kata indah dan nasihat. Bila saya baca, saya rasa sangat sebak. Saya dapat rasakan ramai yang suka dengan penghijrahan saya ini. Saya hanya ingin jadi yang terbaik.
“Saya bersyukur dengan rasa yang Allah bagi ini. Sebagai manusia, kita tak boleh lari daripada kealpaan dan kesilapan. Saya bersyukur kerana dapat merasakan nikmat ini sekarang,” katanya.
Elly sebelum ini menarik perhatian ramai apabila membuat keputusan untuk berhijab di pentas akhir Kilauan Emas 2025.
Menurut Elly, hatinya mula terdetik untuk menutup aurat selepas melihat perjuangan para sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dalam menghantar misi bantuan ke Gaza.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
Sumber & Kredit Foto: Instagram Elly Mazlein