Back To Artikel
category
By MFA

October 17, 2025

Penulis Buku Terkenal “I Want To Die But I Want To Eat Tteokbokki” Meninggal Dunia, Derma Organ Kepada Lima Pesakit

Dunia kesusasteraan Korea Selatan dikejutkan dengan pemergian penulis terkenal, Baek Se-hee, yang meninggal dunia pada usia 35 tahun, pada Rabu lalu. Menurut laporan CNA Lifestyle, berita kematian Baek disahkan oleh pihak keluarga pada 16 Oktober 2025.

Punca kematiannya bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum, namun tindakan mendiang mendermakan organ termasuk jantung, paru-paru, hati serta kedua-dua buah ginjal kepada lima penerima telah menyentuh hati ramai.

Baek mula mencipta nama selepas menerbitkan buku autobiografi popular I Want To Die But I Want To Eat Tteokbokki pada tahun 2018. Karya itu mengisahkan pengalaman sebenar Baek dalam menangani kemurungan serta perbualan jujurnya bersama seorang pakar psikiatri.

Melalui gaya penulisan bersahaja dan introspektif, Baek berjaya menormalisasikan perbualan tentang kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Korea yang sering mengelak topik sebegitu.

Penulis Buku Terkenal

Buku tersebut menjadi fenomena antarabangsa, terjual lebih sejuta naskhah dan diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa termasuk Inggeris serta Jepun. Ia turut menerima pujian ramai pembaca kerana memberi harapan kepada individu yang berdepan tekanan emosi dan keresahan diri.

Pemergian Baek turut mengundang reaksi sedih dalam kalangan pembaca dan komuniti kesihatan mental di seluruh dunia. Ramai menyifatkannya sebagai suara generasi muda yang berani berkongsi kisah sebenar tentang perjuangan emosi dan keinginan untuk terus hidup walau berdepan kemurungan.

Selain karya utamanya, Baek juga sempat menerbitkan sambungan bertajuk I Want To Live But I Want To Eat Tteokbokki Again, yang terus mengangkat tema keseimbangan hidup, pencarian makna diri dan penerimaan terhadap kekurangan insan.

Dengan gaya penulisan yang jujur dan penuh empati, warisan Baek Se-hee akan terus diingati, bukan hanya sebagai penulis, tetapi juga sebagai simbol keberanian menghadapi masalah mental.

++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan