
June 26, 2025
“Sopan Itu Selamat” – Tracie Sinidol Tegas Tolak Fesyen Seksi, Demi Nama Baik Famili
Demi menjaga nama dan maruah keluarga, pelakon Tracie Sinidol mengakui lebih selesa tampil dengan gaya berpakaian sopan berbanding mengenakan busana yang mencolok mata.
Menurut Juara Dewi Remaja 2022 itu, prinsip tersebut telah diterapkan oleh ibunya sejak kecil dan menjadi kebiasaan setiap kali keluar bersama keluarga.
“Sejak kecil, jika saya keluar bersama keluarga, ibu saya akan pastikan kami mengenakan pakaian yang sopan dan tidak mencemarkan nama baik sendiri.
“Bila orang lihat cara pemakaian, percakapan dan tutur cara kita, orang akan hormat. Sebelum ini, saya pernah mencuba mengenakan pakaian yang tak sesuai dengan saya dan rasanya kurang selesa.
“Bila kita selalu mengenakan pakaian yang sopan, lama-lama kita sudah terbiasa. Bila seksi, saya tak selesa.
“Saya suka sesuatu yang selesa dan mudah untuk bergerak,” katanya kepada MH ketika ditemui di program Remaja On Road x Jalen Star Chef di UiTM Puncak Alam, pada Rabu.
Jaga Imej & Fokus Karier, Bukan Populariti Kosong
Pelakon Blood Brothers: Bara Naga itu turut menegaskan, komitmennya untuk kekal dengan imej bersih serta tidak mahu dikaitkan dengan sebarang kontroversi.
“Saya perlu sentiasa meletakkan nama saya di jalan yang positif. Saya mahu menjaga imej demi nama baik keluarga. Jika keluar berita yang tidak baik, orang pertama yang akan menerima kesannya adalah ahli keluarga.
“Saya mahu mereka terima berita yang baik-baik sahaja tentang saya.
“Daripada mengejar popular sahaja, saya lagi suka jika orang ingat nama saya kerana bakat dan sikap saya. Saya mahu nama saya dihormati,” ujarnya lagi.
Tracie turut menjelaskan dia sangat berhati-hati dalam pemilihan watak lakonan kerana tidak mahu memberi pengaruh buruk kepada penonton.
Apabila ditanya bagaimana dia mampu mengawal diri daripada terjebak dalam gejala negatif lebih-lebih lagi bila tinggal jauh daripada keluarga di Kuala Lumpur, ini jawapannya:
“Ibu saya selalu pesan, ke mana sahaja kita pergi, biar kita yang mempengaruhi dan jangan kita dipengaruhi. Segalanya bergantung kepada pilihan sendiri.
“Kalau kita sendiri nak buat perkara buruk, kita mesti akan buat. Namun, jika fokus kita bekerja dengan niat nak beli rumah, kereta dan bahagiakan keluarga, hasrat itu pasti akan tercapai.
“Yang penting kita kena ada hala tuju,” akhirinya yang turut diundang sebagai penalis di program Remaja On Road x Jalen Star Chef.
Acara ini merupakan siri jelajah kendalian Majalah Remaja bagi mencari bintang muda dalam bidang kulinari.
Pertandingan akhir menyaksikan pelajar UiTM Puncak Alam, Imran Syahin diumum sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM3,000 serta piala pusingan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
The post “Sopan Itu Selamat” – Tracie Sinidol Tegas Tolak Fesyen Seksi, Demi Nama Baik Famili appeared first on Media Hiburan.