Back To Artikel
category
By MH

October 16, 2025

“Saya Tak Hakimi Mereka Yang Sanggup Berhabis… Hak Masing-Masing,” – Adira Labur Masa Sebulan Hasilkan Haruman Eksklusif, Ajak Peminat Berjimat Beli Minyak Wangi

Penyanyi dan usahawan, Adira Suhaimi menjadi antara selebriti terawal yang berkolaborasi dengan platform e-dagang tempatan, Syurga Wanita melalui pelancaran dua minyak wangi edisi khas iaitu Flora Syurga dan Aura Wanita.

Kerjasama ini menandakan komitmen penyanyi yang sinonim dengan lagu Ku Ada Kamu itu dalam menyokong misi platform itu untuk memperkasakan usahawan wanita tempatan.

“Saya amat teruja dapat bekerjasama dengan Syurga Wanita. Kerjasama ini bukan sekadar pelancaran produk, tetapi simbol sokongan kepada usahawan wanita tempatan. Saya percaya platform ini berpotensi besar untuk berkembang kerana mereka mempunyai misi yang jelas.

“Saya sendiri seorang penggemar wangian dan sudah tentulah saya mahukan yang terbaik. Kami ambil masa sebulan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan kualiti dan aroma yang menepati citarasa wanita Asia moden.

“Setiap bauan dihasilkan untuk menggambarkan dua sisi wanita ‘Flora Syurga’ yang lembut dan feminin, serta ‘Aura Wanita’ yang berani dan berkarisma.

“Apa pun, saya tidak hakimi mereka yang sanggup berhabis beribu untuk sebotol minyak wangi, dahulu pun saya begitu. Itu hak masing-masing.

“Sebab saya percaya, bila kita sudah suka dengan satu-satu bauan itu, kita akan terus menggunakannya dalam tempoh yang lama tapi harganya mahal.

“Jadi saya akui saya kini dalam fasa untuk berhemah dalam membeli minyak wangi dan rasanya mengapa tidak saya sama-sama ajak peminat untuk turut berjimat dengan memiliki haruman ini yang mampu milik dan tahan lama,” katanya.

Adira berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Bual Media Eksklusif & Pelancaran Wangian Adira x Syurga Wanita di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri pelanggan setia, selebriti serta pempengaruh digital dan pada sesi sama, Syurga Wanita turut meraikan tiga pemenang utama peraduan Wanita Bergaya 2025.

Fenomena Baharu Dunia Beli-Belah

Sementara itu, dunia beli-belah wanita terus berkembang pesat apabila Syurga Wanita mencatat kejayaan luar biasa dengan mencapai 100,000 pelanggan aktif hanya dalam tempoh sebulan sejak dilancarkan.

Platform e-dagang tempatan ini bukan sekadar medan beli-belah, tetapi juga ekosistem sokongan untuk wanita dan usahawan tempatan yang mahu mengembangkan jenama mereka secara strategik.

Menurut pengasasnya, Enica, platform ini disediakan khusus buat kaum wanita untuk membeli-belah dengan mudah dalam satu platform.

“Terdapat banyak jenama yang sudah pun bersama kami dan pelanggan bebas untuk membeli mana-mana produk pilihan mereka,” jelasnya.

Sejak pelancarannya juga, Syurga Wanita turut berjaya menarik perhatian lebih 1,000 Key Opinion Leader (KOL) dan selebriti tempatan yang bersama-sama mempromosikan produk di platform tersebut, sekali gus mencipta peluang pendapatan baharu buat komuniti digital tempatan.

“Kami amat terharu kerana dalam tempoh singkat ini, ramai KOL telah menjana pendapatan melalui platform kami.

‘Kami mahu membuka lebih banyak peluang kepada golongan selebriti dan pempengaruh untuk turut serta, kerana misi selepas ini adalah melebarkan sayap Syurga Wanita ke peringkat global,” ujar Enica lagi.

Dalam pada itu, Syurga Wanita menyasarkan untuk menghimpunkan 100 jenama eksklusif wanita menjelang 2026 serta mencapai 1 juta pelanggan aktif dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Tujuan saya membangunkan Syurga Wanita adalah untuk membantu usahawan yang berdepan pelbagai cabaran dalam berniaga.

“Sebagai seorang pengilang, saya sering mendengar keluhan daripada peniaga kecil yang kekurangan strategi pemasaran dan platform stabil.

“Jadi, saya wujudkan Syurga Wanita dengan pelan pemasaran (marketing plan) tersusun supaya mereka dapat berkembang bersama kami,” katanya.

Kini, platform ini sudah menembusi pasaran antarabangsa termasuk China, Hong Kong dan Indonesia, serta menampilkan pelbagai jenama kecantikan dan gaya hidup milik personaliti terkenal seperti Dato Seri Alha Alfa, Adira Suhaimi, dan Shanell Harun.

Selain menjadi pusat beli-belah digital, Syurga Wanita juga berfungsi sebagai komuniti sokongan, menawarkan ganjaran menarik seperti eWallet Rewards, Lucky Draw, Purchase with Purchasedan hadiah eksklusif termasuk barangan elektronik, kereta serta tiket penerbangan.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Foto: Nona/Ideaktiv

@mediahiburanofficial Rezeki Adira Suhaimi, jalan terus! 💪🏼 Dia jadi antara selebriti terawal yang berkolaborasi dengan platform e-dagang tempatan, Syurga Wanita melalui pelancaran dua minyak wangi edisi khas iaitu Flora Syurga dan Aura Wanita ♥️🌷 #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ Relaxing Music – kucing tetangga