Back To Artikel
category
By MH

June 27, 2025

“Saya Puas!,” – Stacy ‘Menyala’ Di Sabah, Konsert Mega Pertama Pukau Ribuan Fans Tanpa Henti!

Ahad lalu menjadi satu malam paling bermakna dalam kerjaya seni Stacy Anam apabila hampir 3,000 peminat membanjiri Sabah International Convention Centre (SICC) untuk menyaksikan konsert solo mega pertamanya, “Aku Stacy (Menggegar Kota U)”.

Berlangsung selama hampir tiga jam, konsert ini menyaksikan Stacy benar-benar berada dalam elemen terbaik.

Penuh bertenaga sebagai penghibur sejati, anggun sebagai wanita yang membanggakan budaya dan kekal menyinar sebagai ikon pop meskipun sudah 17 tahun dalam industri.

Konsert bermula dengan ‘lit’ menerusi lagu Pakai Buang, di mana Stacy tampil ranggi dalam busana hitam, putih dan merah, disambut dengan sorakan gempita.

Malam terus meledak dengan lagu-lagu ikoniknya seperti Cakap Ke Tangan, Not For Sale, Gilalah, Bosan, dan Menyala.

Salah satu detik kemuncak malam itu ialah ketika Stacy ‘terbang’ di tengah dewan sambil menyampaikan lagu Khayal, mencipta babak dramatik yang membuatkan dewan bergegar dengan jeritan keterujaan.

Momen penuh emosi pula hadir saat dia mendendangkan lagu-lagu balada seperti Kisah Dongeng dan Pelangi Senja, dinyanyikan bersama ribuan peminat yang hadir.

Tidak dilupakan, persembahan Asmaradana yang pernah dibawanya menerusi The Hardest Singing Show juga diberi nafas baharu dengan elemen busana dan budaya Sabah.

Konsert ditutup penuh simbolik dengan lagu Aku Stacy, karya yang memperkenalkan dirinya kepada dunia hampir dua dekad lalu.

karya itu kini menjadi lambang perjalanan seni penuh jatuh bangun, yang diraikan megah di bumi sendiri.

Duet Romantis, Artis Jemputan & Cipta Rekod! 

Segmen duet bersama suaminya, Akim Ahmad, turut mencuri tumpuan apabila pasangan ini memulakan persembahan dengan lagu Inggeris popular Die With A Smile nyanyian asal Lady Gaga & Bruno Mars.

Lagu tersebut disambut sorakan hangat, sebelum mereka meneruskan persembahan dengan Aku, Kau & Muzik dan Ritma & Rima.

Malah Akim juga diberi ruang solo dengan lagu Rampas, mempamerkan kekuatan vokal dan karismanya yang tersendiri.

Konsert turut diserikan dengan kehadiran barisan artis jemputan seperti Amir Masdi, Elica Paujin, Hafiz Zainal dan Dabra Sia yang masing-masing tampil dengan persembahan penuh dinamik.

Turut mencuri tumpuan, ialah penampilan pelawak, Atu Zero yang muncul secara spontan dengan jenaka yang mencuit hati penonton.

“Saya rasa puas hati betul malam ini. Penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi kerana ini betul-betul ‘Stacy’ punya konsert,” ujar Stacy.

Dalam masa tiga bulan persiapan, Stacy bukan sekadar mengatur susunan muzik dan konsep pentas, bahkan tampil dengan 10 pertukaran busana rekaan pereka fesyen tempatan.

Sekaligus, momen itu memecahkan rekod sebagai artis Malaysia pertama yang menukar pakaian sebanyak itu dalam satu sesi persembahan.

Secara keseluruhan, konsert sulung skala besar pertamanya itu nyata membuktikan kredibiliti Stacy sebagai penghibur sejati dan tersendiri.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

The post “Saya Puas!,” – Stacy ‘Menyala’ Di Sabah, Konsert Mega Pertama Pukau Ribuan Fans Tanpa Henti! appeared first on Media Hiburan.