Back To Artikel
category
By Aizam Manaf

June 25, 2025

“Lantang Pun Tiada Beza…,” – Abby Abadi & Keluarga Ambil Tempoh Bertenang, Biar Marissa Lalui Sendiri Hidup Berumah Tangga

Pelakon dan penyanyi Abby Abadi mengambil pendekatan lebih tenang apabila ditanya mengenai kontroversi rumah tangga anak perempuannya, Marissa Dania.

Setelah beberapa kali menjadi tumpuan umum, Abby memilih untuk tidak lagi memberikan reaksi berlebihan terhadap isu berkenaan.

Menurut Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, kelantangannya sebelum ini didakwa tidak memberikan sebarang kesan yang positif.

“Sekali itu sahajalah saya lantang. Tiada apa perbezaan pun yang berlaku. Segalanya habis di situ sahaja.

“Walaupun kami ada berjumpa dan tiada apa beza,” katanya kepada MH ketika ditemui pada sidang media Konsert Elite Live ’25, pada Selasa.

Tambah Abby, hatinya kini lebih terbuka dan reda terhadap keputusan anaknya, dan tidak mahu memperbesar isu berkenaan lagi.

“Berkaitan anak ini, saya tidak minat memperbesarkan lagi hal ini. Kalau itulah pilihan dia, biarlah dia lalui sendiri.

“Kalau perkara ini baik untuk mereka, hubungan itu akan berpanjangan. Kalau sebaliknya, kita lihatlah apa yang berlaku.

“Saya tidak mahu ulang lagi perkara sama. Nanti orang kata saya tak habis-habis,” ujarnya lagi.

Doakan Yang Terbaik

Pada masa sama, Abby menjelaskan fokus utamanya kini adalah keharmonian keluarga dan berharap semua pihak turut mendoakan yang baik-baik sahaja buat mereka.

“Saya dan keluarga kini dalam keadaan baik. Kami tidak mahu lagi memburukkan keadaan. Masing-masing sedang ambil tempoh bertenang.

“Saya tak boleh nak buat apapun. Sama-sama kita doakan semoga hal ini jadi lebih baik,” katanya lagi.

Mengenai hubungannya dengan Marissa, Abby memberi jawapannya yang tersendiri.

“Saya masih baik dengan anak-anak saya. Anak saya tetap anak saya. Anak orang je bukan anak saya,” katanya menutup bicara.

Terdahulu pada April, Abby mencuri perhatian selepas menyuarakan rasa kecewa terhadap menantunya, Aslam, termasuk menyangkal kenyataan yang mendakwa Aslam telah membuat permohonan maaf secara peribadi.

Tindakan Abby difahamkan terjadi susulan rasa tidak puas hati terhadap sikap Aslam yang dikatakan tidak menghormatinya sebagai ibu mentua.

Namun begitu, tidak lama kemudian, Marissa sendiri mengambil inisiatif bertemu Abby bagi menjernihkan semula hubungan mereka yang keruh selama hampir dua minggu.

Sebelum itu, Marissa mengejutkan ramai apabila disahkan telah bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada Disember 2023, tanpa pengetahuan keluarga termasuk isteri pertama Aslam, Umisya Mazlan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

The post “Lantang Pun Tiada Beza…,” – Abby Abadi & Keluarga Ambil Tempoh Bertenang, Biar Marissa Lalui Sendiri Hidup Berumah Tangga appeared first on Media Hiburan.