
October 17, 2025
Bekas Suami Sia Tuntut Nafkah RM1.3 Juta Sebulan
Penyanyi terkenal Australia, Sia, kini berdepan tuntutan nafkah bulanan mencecah kira-kira RM1.3 juta (AS$250,856) daripada bekas suaminya, Daniel Bernad, selepas mereka memfailkan perceraian di Los Angeles awal tahun ini.
Menurut laporan, Bernad, yang merupakan bekas pakar onkologi sinaran, mengemukakan permohonan rasmi di Mahkamah Tinggi Los Angeles pada 9 Oktober lalu, meminta nafkah sementara serta bantuan kewangan tambahan bagi menampung kos guaman dan audit akaun.
Dalam tuntutan berkenaan, Bernad turut menuntut bayaran AS$300,000 (kira-kira RM1.5 juta) bagi yuran guaman dan AS$200,000 (RM950,000) untuk khidmat perakaunan forensik, menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan mencecah hampir RM3.7 juta.
Beliau mendakwa, sejak tahun 2021, dia meninggalkan kerjayanya dalam bidang perubatan untuk menumpukan perhatian kepada pusat rawatan ketamin yang diasaskan bersama Sia di bawah nama Modern Medicine.
Namun, selepas penyanyi itu menghentikan pembiayaan operasi klinik berkenaan pada Mac lalu, Bernad mendakwa dia tidak lagi mempunyai sebarang sumber pendapatan.
Bernad turut menegaskan bahawa tuntutan tersebut wajar kerana sepanjang tempoh perkahwinan, mereka hidup dalam “gaya hidup kelas atasan dan mewah” hasil kejayaan kerjaya Sia dalam industri muzik global.
Imbas kembali, hasil perkahwinan yang bertahan hanya dua tahun itu. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berusia setahun. Sebelum itu, Sia turut memiliki dua orang anak angkat.
++ Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan