Back To Artikel
category
By MH

June 24, 2025

Teman Siti Buat ‘Check-Up’ Kehamilan Cetus Spekulasi Hubungan, Iqbal Jelaskan Situasi – “Sebab Tu Buat Video, Ada Orang Lain Juga Bersama Kami.”

“Saya tak boleh nak menutup mulut orang. Cuma sekarang ni, Siti dalam idah dan saya tak mahu ia jadi fitnah.”

Demikian kata usahawan dan pempengaruh, Iqbal Zulkefli sebagai mengulas sedutan video yang memaparkan dirinya hadir menemani Siti Jamumall ke sebuah pusat rawatan bagi menjalani pemeriksaan kandungan baru-baru ini yang mencetuskan tular.

Susulan daripada video tersebut, ada warganet yang melabel mereka serasi dan mendoakan hubungan lebih serius.

Namun ada juga yang menuduh Iqbal hanya mahu mengambil kesempatan serta mencipta gimik.

Bagaimanapun Iqbal menjelaskan, kehadirannya bukan untuk mencari perhatian, sebaliknya sebagai rakan yang memahami keadaan emosi Siti selepas melalui episod perpisahan.

“Sebab itulah kita buat video supaya kalau ada yang melihat, ada orang lain juga yang bersama kami. Ada ibu dan abangnya. Apa yang saya lakukan sekarang hanya untuk membantu Siti.

“Saya kenal Siti sebelum dia berkahwin dan tak kanlah saya mahu biarkan dia sampai meroyan atau seorang diri sehingga emosinya menjadi kacau.

“Akan tetapi saya faham, tindakan Siti meluahkan isi hatinya di media sosial hanya untuk berkongsi kejujuran dia tapi tidak didengari. Sekarang, bertubi-tubi dengan dakwaan ada isu dikhianati kawan pula.

“Jadi saya perhatikan satu persatu ujian yang menimpanya, dan sampai satu masa, rasa tak boleh terus berdiam diri. Kena selamatkan kawan.

“Jadi saya rasa kena tolong pada masa ini. Ini bukan satu gimik atau mahu kejar populariti lagi. Tapi sebagai perkara yang serius,” katanya lagi.

Siti Bersuara, Jelaskan Masih Dalam Idah

Walaupun disambut dengan komen positif daripada segelintir peminat (berkenaan soal jodoh), Siti Jamumall tetap teguh dengan prinsip untuk menjaga batas sepanjang tempoh idah.

Malah bagi Siti, hubungan dengan Iqbal hanyalah berlandaskan urusan profesional semata-mata.

“Apa pun saya bersyukur bila Allah SWT hadirkan orang yang baik di sekeliling saya, bukan Iqbal sahaja. Ramai yang berikan sokongan, alhamdulillah.

“Akan tetapi, cukuplah perkenalan saya bersama Iqbal atas sekadar urusan perniagaan sahaja. Saya tak nak lebih-lebih.

“Walaupun menerima pelbagai kata-kata positif, saya tetap dengan pendirian saya dalam idah, jangan dekati saya. Saya kena jaga apa yang perlu dijaga,” tegasnya.

Terdahulu, hantaran video Iqbal menemani Siti telah mencetus pelbagai reaksi netizen dan sekali lagi menempatkan nama mereka di tengah perhatian umum.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

The post Teman Siti Buat ‘Check-Up’ Kehamilan Cetus Spekulasi Hubungan, Iqbal Jelaskan Situasi – “Sebab Tu Buat Video, Ada Orang Lain Juga Bersama Kami.” appeared first on Media Hiburan.