Back To Artikel
category
By Farizul Izwany Ibrahim

June 25, 2025

4U2C Bakal Comeback, Janji Tak Miming & Menari Macam Dulu

Nama 4U2C mungkin mengimbau kenangan era 90-an yang sarat dengan gaya fesyen berani, rentak hip hop tempatan dan fenomena “Fiona” yang pernah menjadi siulan ramai.

Tapi kali ini, kumpulan legenda itu tidak sekadar ingin mengimbau nostalgia. Mereka hadir untuk membuktikan bahawa semangat dan tenaga mereka masih utuh, seperti tiga dekad lalu.

Konsert “WE 4U2C Live in Concert” yang bakal berlangsung pada 15 September ini di IdeaLive Arena, Petaling Jaya.

Ia dijangka menjadi pentas yang menyatukan semula peminat lama dan penggemar baharu dalam satu persembahan yang menjanjikan lebih daripada sekadar nyanyian. Malah, 4U2C menjanjikan pengalaman sebenar tanpa nyanyian miming.

“Ini memang mimpi jadi kenyataan. Kami janji, persembahan kali ini bukan sekadar nyanyian ‘miming’ tetapi kami akan menari dan menghiburkan seperti dulu, tiga dekad yang lalu,”kata AC Mizal pada sidang media konsert di Bukit Bintang semalam.

Dengan barisan asal yang terdiri daripada Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam, mereka berjanji untuk menghidupkan kembali suasana penuh tenaga dan karisma yang pernah menjadi identiti mereka.

TERCETUS IDEA

Konsert ini juga menampilkan tiga lagu baharu, termasuk sebuah balada dan dua lagu rancak, sebagai hadiah istimewa untuk peminat yang selama ini setia menunggu kepulangan mereka ke pentas utama.

Idea asal konsert ini tercetus daripada isteri AC Mizal sendiri, Datin Emylia Rosnaida, selepas melihat sambutan luar biasa terhadap konsert KRU. Ia kemudian direalisasikan bersama pihak penganjur Juss Event Sdn Bhd.

“4U2C merupakan kumpulan pertama di Malaysia yang tampil dengan konsep nyanyian sambil menari dan identiti itu akan terus dikekalkan dalam konsert kali ini.

“Kami mahu tunjuk bahawa dalam Malaysia ini memang ada artis yang benar-benar berkualiti, bukan sekadar menyanyi, tetapi mampu menghiburkan secara menyeluruh,” tambah AC Mizal  lagi.

Dari segi produksi, konsert ini tidak dipandang ringan. Maestro muzik terkenal, Aubrey Suwito telah dilantik sebagai pengarah muzik dan akan mengetuai 14 pemuzik profesional bagi memastikan kualiti bunyi dan persembahan berada pada tahap tertinggi.

Tiket akan mula dijual bermula 30 Jun menerusi Ticket Empire dan Fantopia dengan harga bermula dari RM155 hingga RM555.

BACA: KRU Cipta Fenomena Baharu, GenKRU 2025 Diiktiraf Malaysia Book Of Records

Buat penggemar muzik tempatan, ini bukan sekadar peluang untuk mengenang masa lalu, tetapi satu malam untuk menyaksikan legenda kembali menguasai pentas dengan gaya dan semangat yang tidak pernah pudar.

4U2C tidak hanya kembali ke pentas. Mereka kembali dengan misi untuk membuktikan bahawa muzik, seperti semangat, tidak pernah lapuk dimakan zaman.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

 

 

The post 4U2C Bakal Comeback, Janji Tak Miming & Menari Macam Dulu appeared first on Maskulin.