
May 19, 2025
Juri Teruja Pertama Kali Rasa Acar Buah Paling Sedap, Tengku Ampuan Pahang Juara Pertandingan Masakan
Memang nampak sedap sangat acar buah Tengku Ampuan Pahang ni. Kombinasi bahan-bahan dan warna semula jadi acar menjadi pembangkit selera!

Memang selayaknya Paduka Baginda memenangi Pertandingan Masakan Acar baru-baru ini sempena Karnival Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) di Taman Tasik Maran, Pahang.
Terbukti keikhlasan ‘air tangan’ Paduka Baginda yang sentiasa ingin memberikan yang terbaik dalam setiap hasil masakannya.

Seperti yang semua tahu, memasak sangat sinonim dengan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Aktiviti memasak bukan hanya terapi jiwa buat Paduka Baginda malah ia turut menjadi kebiasaan khususnya untuk menjamu keluarga, kenalan serta tetamu di istana.

Biarpun berstatus diraja, Paduka Baginda sentiasa rajin menyinsing lengan masuk ke dapur untuk memasak bersama-sama cef dan tukang. Paduka Baginda juga sering memasak untuk para pekerjanya di istana.
Kongsi Video Masakan
Dalam hantaran terbaharu di Instagram Kesultanan Pahang, Paduka Baginda berkongsi bagaimana proses penghasilan acar buah yang dipertandingkan itu dan ia sememangnya hasil air tangan Paduka Baginda sendiri.
View this post on Instagram
Dibantu sekumpulan Cef Istana Abdulaziz yang digelar ‘Geng Ular’, Paduka Baginda sentiasa teliti dalam menyiapkan menu yang ingin dihidangkan.
Penyertaan Paduka Baginda dalam Pertandingan Masakan Acar baru-baru ini hanya kebetulan.

Sementelah Paduka Baginda baru sahaja menyiapkan berbotol-botol acar buah, tanpa pengetahuan sesiapa, secara diam-diam Paduka Baginda melalui seorang ahli WI menghantar penyertaan menggunakan nama ‘Aminah Mahmood’ dari Maran.
BACA JUGA: Tengku Ampuan Pahang Berkenan Merasmikan Pembukaan Pusat Kesuburan Alhaya
Rezeki
Bagaikan tertulis, sudah menjadi rezeki air tangan Paduka Baginda walaupun umum tidak mengetahuinya, masakan tersebut berjaya menawan selera juri.

Bukan hanya juri, Paduka Baginda sendiri terkejut apabila hidangan tersebut dipilih sebagai pemenang tempat pertama.
Kisahnya, acar buah tersebut dihantar untuk bertanding pada waktu pagi dan Paduka Baginda bermesyuarat sehingga terlupa perihal acar buah tersebut.
Semua 11 peserta hanya membawa acar buah yang siap dimasak dan dihidangkan mengikut kreativiti masing-masing untuk dipertandingkan.
Acar buah Paduka Baginda tidak diletakkan dalam mangkuk khas istana tetapi dalam bekas biasa (pyrex) seorang penduduk kampung di situ.
Juri Teruja Pertama Kali Rasa Acar Buah Paling Sedap
Sementara itu, juri pertandingan Hajah Siti Rokiah Lebai Rahmat yang merupakan bekas guru masakan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan berpengalaman selama 39 tahun dalam perjurian pertandingan masakan terkejut apabila peserta yang diumumkan sebagai pemenang tempat pertama, Aminah Mahmood ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

“Saya dan semua peserta tidak tahu hidangan tersebut milik Paduka Baginda. Semua peserta diberi syarat sama iaitu menyediakan hidangan siap dari rumah dan dibawa ke pertandingan ini untuk dinilai mengikut rasa dan kreativiti.
“Saya dan pasukan juri memilih acar buah Aminah Mahmood ini bukan kerana sedap semata-mata tetapi kombinasi bahan-bahan yang cukup sempurna.
“Tidak berminyak tetapi kuah yang bersalut dengan rasa buah dan rempah ratus. Ini kali pertama saya rasa acar buah yang sedap, sempurna dan lengkap dengan semua bahan.”

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke karnival tersebut selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung WI Pahang di Dewan Jubli Peraki.

Turut mengiringi ialah YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz.



















