Back To Artikel
category
By Norhasliza Mohd Shafi

June 18, 2025

Jubin Bercorak Kayu VS SPC, Mana Lebih Baik Untuk Lantai Rumah

Jubin bercorak kayu vs SPC, mana lebih baik untuk lantai rumah? Dalam dunia hiasan dalaman, pemilihan jenis lantai memainkan peranan penting dalam menentukan keselesaan, ketahanan dan nilai estetika sesebuah ruang.

Jubin Bercorak Kayu VS SPC, Mana Lebih Baik Untuk Lantai Rumah

Antara pilihan popular masa kini ialah jubin bercorak kayu dan SPC (Stone Plastic Composite). Kedua-duanya kelihatan seperti kayu sebenar, namun berbeza dari segi ciri, fungsi dan ketahanan. Jadi, mana satu lebih baik untuk rumah anda?

Berikut perkongsian daripada Syafiee Ariffin

Ramai yang menyangka kami menggunakan SPC (Stone Plastic Composite) atau parket kayu sebagai lantai di bilik tidur, ruang dapur dan ruang laundry rumah kami, memandangkan coraknya yang seakan-akan kayu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Namun hakikatnya, kami memilih jubin (mozek/tiles) bercorak kayu sebagai alternatif utama. Ya, ia bukan SPC atau parket kayu seperti yang disangka ramai.

Pengalaman Menggunakan SPC

Sebelum membina rumah sendiri, saya pernah menggunakan SPC atau parket kayu di bilik tidur rumah ibu bapa. Pemasangan dilakukan oleh tukang profesional, bukan saya sendiri. Namun, ketahanannya tidak seperti yang diharapkan. Selepas lebih kurang setahun, SPC tersebut mula rosak.

Pengalaman tersebut membuatkan kami lebih berhati-hati semasa memilih material untuk lantai rumah sendiri. Akhirnya, kami memilih jubin bercorak kayu kerana ketahanan dan kelebihannya yang lain.

Mengapa Kami Memilih Jubin Bercorak Kayu?

1. Tahan Lasak

Jubin jauh lebih tahan lasak berbanding SPC atau parket kayu. Ia tahan calar, tahan haba, dan mampu bertahan dalam jangka masa panjang. Pemasangan jubin yang menggunakan simen menjadikannya kukuh dan tidak mudah tercabut berbanding SPC yang dipasang menggunakan sistem “klik dan kunci”. Sekiranya salah satu bahagian SPC rosak, bahagian lain juga berisiko tercabut.

2. Kalis Air

Walaupun SPC diiklankan sebagai kalis air, hakikatnya ia masih boleh menyerap air melalui celah-celah sambungannya. Air yang meresap ke bawah permukaan boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan, terutamanya jika air tersebut bukan air kosong. Ini menjadi isu besar kepada mereka yang kerap mengemop lantai.

Jubin pula lebih sesuai untuk kawasan lembap seperti dapur, ruang laundry, malah boleh juga dipasang di bilik air kerana tahap ketahanan dan kekalisannya terhadap air.

3. Memberi Efek Sejuk

Jubin memberikan rasa sejuk pada lantai, sangat sesuai dalam cuaca panas. Ia mengingatkan kita pada zaman kanak-kanak apabila tidur di atas lantai kerana kesejukannya yang nyaman. Namun, pada waktu pagi atau ketika tidak sihat, lantai jubin mungkin terasa terlalu sejuk – tetapi ini boleh diatasi dengan memakai selipar.

4. Estetika Yang Menarik

Jubin bercorak kayu kini hadir dengan pelbagai reka bentuk menarik – ada yang menyerupai urat kayu sebenar, lengkap dengan teksturnya. Untuk bilik tidur, kami memilih jubin bersaiz panjang seperti SPC, manakala untuk dapur dan ruang laundry, kami memilih jubin yang lebih kecil dan berwarna cerah. Hasilnya tetap kelihatan elegan dan serupa dengan SPC atau parket kayu.

5. Kos Lebih Berbaloi

Ketika membuat perbandingan harga semasa pembinaan rumah, jubin bercorak kayu jauh lebih menjimatkan berbanding SPC. SPC yang berkualiti tinggi pula jauh lebih mahal, manakala SPC yang harganya setara dengan jubin biasanya hadir dengan kualiti yang biasa-biasa sahaja.

Kelemahan Jubin Berbanding SPC

Satu-satunya kelebihan ketara SPC berbanding jubin ialah dari segi rasa pijakan. SPC memberikan rasa lembut dan ‘nyot-nyot’ apabila dipijak, memberikan keselesaan yang lebih terutama untuk ruang bilik tidur.

Pemilihan material lantai sangat bergantung kepada keperluan dan pengalaman individu. Berdasarkan pengalaman kami, jubin bercorak kayu menawarkan ketahanan, nilai ekonomi, dan penampilan yang tidak kalah dengan SPC.

Meskipun tidak mempunyai rasa pijakan yang selembut SPC, namun keseluruhan ciri-ciri jubin lebih sesuai untuk jangka masa panjang dan penggunaan di kawasan yang terdedah kepada kelembapan.

Sekiranya anda sedang merancang untuk membina atau mengubah suai rumah, pertimbangkan jubin bercorak kayu sebagai pilihan utama – cantik, tahan lasak dan mesra penyelenggaraan.

Sumber: Syafiee Ariffin

Baca artikel lain juga: Lantai Jubin Meletup Bukan Perkara Aneh! Ini Punca Dan Cara Selesaikan!

Jubin Tahan Lama, Tak Rosak Elak Pencuci Lantai Guna Bahan Hydrochloric Acid

 

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

The post Jubin Bercorak Kayu VS SPC, Mana Lebih Baik Untuk Lantai Rumah appeared first on Impiana.