
September 23, 2025
Konsep MODERN FARMHOUSE Serlah Karakter Semi-D (Cluster) 2,075kps!
Konsep MODERN FARMHOUSE Serlah Karakter Semi-D (Cluster) 2,075kps!. Kali pertama IMPIANA melihat dekorasi pada kediaman jenis Semi-D (Cluster) corner lot di Semenyih ini, terus jatuh cinta dengan penataan hiasan dalamannya. Warm & cozy!
Berkeluasan 2,075kps mempunyai 4 bilik dan 4 bilik air, interior rumah hasil idea bersama pemilik kediaman Salehudin Said dan Noorasmida Noordin bersama pereka ID, dihias dengan cukup indah berkonsep Modern Farmhouse. Malah menjadikan rujukan daripada sosial media sebagai inspirasi dalam rekaan konsep dan dekorasi rumah.
“Definisi rumah bagi kami, rumah sepatutnya kita berasa selesa bila kita nak duduk dalam rumah tu, kita rasa tenang dan lapang fikiran bila berada dalam rumah,”
“Kami memilih konsep ‘Modern Farmhouse’. Kami suka elemen moden dan digabungkan dengan elemen kampung desa sikit, jadi nampak lebih menarik dan simple. Inspirasi dekorasi rumah pula kami dapat daripada rumah orang lain dari Instagram, Tiktok. Kami buat ‘research’ dan ‘come out’ dengan design macam ni,” jelas Salehudin.

Elemen ‘Arch’ Teras Dekorasi Rumah
Pasangan suami isteri sama cantik sama padan ini sangat menggemari reka bentuk ‘Arch’ . Jadi tidak hairanlah, interior dekorasi rumah ini banyak dihiasi dengan reka bentuk ‘arch’ seperti di entryway yang menempatkan rak kasut, kabinet tv di ruang tamu, kaunter bar, kabinet dry kitchen, ‘sliding door’, meja mekap di bilik tidur utama dan sebagainya.
Pemilihan warna natural dengan rona putih, beige, off white, kelabu lembut dan aksen kayu asli pula cukup menawan hati. Di samping ruang terbuka yang luas dengan dekorasi elegan dan penuh karakter.
Suka Raikan Tetamu, Meja Makan 8 ‘Seater’
Menjengah ke ruang makan yang terletak dibahagian tengah rumah, pemilihan material ‘solid wood’ rona gelap dan ‘armchair’ dengan kusyen rona cerah, menaikkan seri pada ruang ini. Meja makan sengaja dipilih bersaiz besar menempatkan 8 tempat duduk bagi memudahkan pemilik menjamu tetamu yang datang bertandang.
“Untuk ‘dining area’ ni saya memang pilih untuk 8 seater sebab saya suka jemput tetamu datang ke rumah dan meraikan mereka untuk saya buat makan-makan. Sambil makan, boleh tengok TV di depan dan boleh juga lihat landskap di sebelah kiri kita,” jelas Mieda.
Fungsi Praktikal Dapur Kering & Dapur Basah
Bahagian dapur kering pula cukup ringkas dengan material MDF dan dilengkapi dengan bar kaunter rona senada. Permukaan kaunter top dengan kemasan porselin pada kaunter bar pula sengaja direka dengan permukaan ‘curve’ bagi menambah estetik pada ruang ini.
Bukan itu sahaja, kaunter bar juga turut dijadikan ‘meja tambahan’ apabila mengadakan makan-makan di rumah serta tempat menikmati hidangan ringan ketika sarapan pagi mahupun minum petang.
Menariknya meninjau ke dapur basah yang mempunyai keluasan tidak terlalu besar dan pemilik ternyata mempunyai alasannya yang tersendiri.
“Dapur basah ni kami ‘extend’, buat renovation dan cuma tambahkan sikit bahagian belakang. Sebabnya saya suka ruang (dapur basah) yang kecil sahaja untuk mudah akses semua benda dan mudah saya nak maintain dan bersihkan,” ujar Mieda.
Bersebelahan ruang dapur basah juga menempatkan tanaman dapur (edible garden) seperti serai, cili padi, pokok pandan dan sebagainya bagi memudahkan pemilik ketika memasak di dapur.
Dekorasi Entryway Cantik & Praktikal
Dekorasi entryway atau ruang pintu masuk hadapan pada kediaman ini cukup memikat hati. Ia bukan sahaja cantik dengan rekaan ‘arch’ dan kemasan bata pada dinding malah cukup praktikal untuk dijadikan inspirasi buat kediaman lain. Ruang ini menempatkan kabinet kasut, tempat duduk dan cermin besar disamping pencahayaan lampu yang indah.
“Ruang ini (entryway) ini biasanya saya akan OOTD sebelum keluar rumah, ‘check’ penampilan diri ok ke tak. Duduk sekejap untuk pakai kasut. Kabinet ini juga untuk simpan set golf yang digunakan ketika ‘weekend’, jelas Mieda.
Perancangan Masa Hadapan
Berkongsi lebih lanjut perancangan pada masa hadapan, pemilik berharap setelah dapat menyiapkan dekorasi pada bahagian bawah rumah dan master bedroom, mereka dapat menyiapkan dekorasi pada bilik tetamu dan 2 bilik lain lagi pula mengikut bajet dan masa yang sesuai pada masa akan datang.
Ternyata gandingan elemen kedesaan Inggeris tradisional “farmhouse” dengan sentuhan moden yang minimal dan clean berjaya menyerlahkan identiti kediaman ini. Semoga menjadi inspirasi buat pencinta dekorasi kediaman yang lain.
INFO KEDIAMAN
Nama Pemilik: Salehudin Said & Noorasmida Noordin
Pereka ID : QB.Space
Jenis Kediaman: Semi-D (Cluster) Corner Lot
Konsep: Modern Farmhouse
Usia Kediaman: Mac 2025
Keluasan Kediaman: 2,075kps (32’x70′)
Spesifikasi Ruang: Ruang Tamu, 4 Bilik Tidur, 4 Bilik Air, Dapur Kering, Dapur Basah, Patio
Mesti Baca: Tampil ‘Bold & Vibrant’, Terjemahan Konsep ‘Mixed Culture’ Serlah Keunikan Dekorasi ‘House de Verde’
Baca Lagi Di Sini: Estetika ‘Detailing’ Ukiran Klasik Simple, Kediaman Semi D Inspirasi ‘French Minimalist’
Artikel Menarik: Perancangan Teliti Pemilik Realisasikan Kediaman Konsep Terbuka Inspirasi Modern Mediterranean